IPOH 2 Mei – Seorang wanita warga emas orang kurang upaya (OKU) rentung dalam kebakaran rumah di Jalan Besi, Kampung Baru Buntong di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pada pukul 6.45 pagi itu, mangsa, Lee Soo Nooi, 66, yang buta sebelah mata tinggal di rumah sendirian.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh, Mohd. Subri Hussin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada pukul 6.56 pagi.

Menurutnya, anggota bomba yang tiba di tempat kejadian menjalankan operasi pemadaman bagi mengelak kebakaran merebak ke rumah bersebelahan.

“Kebakaran berjaya dikawal dalam tempoh 10 minit dan anggota bomba menemukan mayat mangsa di atas katil di dalam bilik rumah,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian hari ini. – UTUSAN ONLINE