KUALA LUMPUR: “Dia boleh cakap apa yang dia mahu tetapi waran tangkap terhadapnya sedang menunggu.”

Demikian amaran Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor, berhubung empat rakaman video menampilkan Datuk Seri Jamal Md Yunos yang diedarkan kepada media yang memperjelaskan tindakannya ‘menyembunyikan’ diri daripada polis, sejak malam tadi.

Mazlan yang dihubungi NSTP, hari ini berkata Jamal sewajarnya tampil memberi kerjasama dengan polis bagi menyelesaikan proses ikat jamin dan urusan siasatan terhadapnya yang tergendala dan bukannya menyebarkan rakaman video sedemikian.

“Dia (Jamal) boleh cakap yang yang dia suka, cuma saya tegaskan waran tangkap sedang menunggunya.

“Dia cuma perlu tampil dan selesaikan perkara ini. Jika kesnya dibawa ke mahkamah, dapatkan peguam yang terbaiklah, itu saja,” tegas Mazlan.

Semalam, Jamal yang juga Pengerusi Persatuan Gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Malaysia menyebarkan video mengandungi rakaman suaranya mendakwa dia masih berada di dalam negara.

 

JAMAL semalam menyebarkan video mengandungi rakaman suaranya mendakwa dia masih berada di dalam negara.

Menerusi video itu, dia menyatakan kerajaan tidak perlu memburunya secara besar-besaran termasuk bekerjasama dengan Polis Antarabangsa (INTERPOL).

Ini kerana ‘kononnya’ kesalahan yang dilakukan itu amat kecil dan bukan jenayah yang boleh mengancam keselamatan orang ramai.

Malam tadi pula, empat video memaparkan Jamal berlatar belakangkan ladang kelapa sawit dimuat naik melalui sebuah kumpulan aplikasi WhatsApp oleh seorang ahlinya.

Video pertama dimuat naik pada jam 10.14 malam dan video terakhir pada jam 11.28 malam – berita harian