IPOH: Majikan kepada sekumpulan warga asing yang berpesta “sakan” di Flat Anjung Tawas pada 15 April lalu sehingga menimbulkan rasa tidak senang dikalangan penduduk telah diberi amaran oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Abdul Rani Alias berkata pihak pengurusan kilang kepada warga-warga asing itu diberi amaran supaya memastikan perkara tersebut tidak lagi berulang demi menjaga kenteraman penduduk flat berkenaan.

“Kita telah menerima laporan polis mengenai pesta berkenaan dan pihak polis dari balai Kg Tawas telah pergi menghentikan kejadian itu.

“Pihak pengurusan kilang tempat pekerja asing itu juga dah diberi amaran untuk tidak berulang lagi,” katanya ketika dihubungi oleh Suara Perak pada Rabu.

Abdul Rani turut mengingatkan orang ramai supaya tidak gusar untuk melakukan laporan polis sekiranya terdapat kejadian yang menggangu kenteraman awam.

“Jika kejadian seperti ini berlaku lagi saya minta penduduk atau masyarakat awam cepat-cepat laporkan kepada kami melalui talian hotline, kita akan datang segera ambil tindakan,” ujar beliau.

Baru-baru ini video sekumpulan warga asing berpesta di tingkat dua Flat Anjung Tawas telah menjadi tular di media sosial.

Video yang direkodkan oleh penduduk tersebut menunjukkan warga-warga asing berkenaan sedang menari “sakan” di ruang legar Flat dengan bunyian lagu yang kuat.