IPOH: Dua lelaki warga Bangladesh dan Myanmar meninggal dunia pada Rabu ketika dirawat di Hopital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini, disyaki kerana keracunan metanol.

Pengarah Kesihatan Negeri Perak, Datuk Dr Ding Lay Ming berkata, kedua-dua mangsa dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) HRPB pada 28 April lalu selepas mengalami gejala kabur penglihatan, loya, muntah, sakit perut dan kurang sedar.

Menurutnya, kedua-dua kes juga didapati mempunyai sejarah minum minuman beralkohol sebelum mengalami gejala.

“Kedua-dua kes tersebut dilaporkan berada di dalam keadaan kritikal semasa dimasukkan ke hospital dan telah meninggal dunia pada awal pagi ini,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Menurut beliau, sampel klinikal daripada kedua-dua kes telah dihantar ke makmal untuk pengesanan metanol tetapi keputusannya belum diterima.

Tambahnya, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian itu dan survelan minuman beralkohol di pasaran juga akan dipertingkatkan.

Beliau menasihatkan orang ramai agar mengelakkan daripada pengambilan minuman beralkohol tiruan.

“Keracunan metanol boleh menyebabkan gejala sakit perut, sesak nafas, kabur penglihatan, loya, muntah, pening atau sakit kepala yang teruk dan kekejangan kaki,” ujarnya.

Katanya, sekiranya terdapat individu yang mengalami mana-mana gejala tersebut selepas pengambilan minuman beralkohol, sila bawa untuk mendapatkan rawatan di hospital yang terdekat dengan kadar segera.