Oleh: Nazialita Geynna Maharan

TAPAH: Seorang lelaki warga Bangladesh maut dalam keadaan mengerikan dalam satu kebakaran melibatkan rumah kongsi pekerja di Batu 2, Jalan Lama Bidor – Tapah di sini, awal pagi Khamis.

Mayat lelaki berusia sekitar 30-an itu ditemui rentung oleh pasukan Bomba dan Penyelamat pada pukul 5.40 pagi ini.

Seorang buruh ladang, Mohd Raffi Qulislam Raffi berkata, beliau mendengar mengenai insiden itu daripada rakan-rakan yang berada di lokasi kejadian.
Menurutnya, mayat rakan senegaranya itu terbakar hangus hampir keseluruhan badan.

“Mayatnya habis terbakar dan tinggal rangka sahaja,” katanya ketika ditemui Suara Perak.

Raffi berkata, dia tidak menyedari kebakaran itu kerana lokasi rumahnya terletak agak jauh daripada rumah kongsi yang terbakar itu.

Katanya, rumah kongsi itu terletak di Tapak PR1Ma, Jalan Bidor-Tapah, Kg Tanah Mas.

“Kawan-kawan saya duduk di sebelah kawasan kebakaran itu. Semua takut kejadian sama berulang, tambahan pula rumah kongsi mereka dibina dengan papan lapis yang mudah dimakan api,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Tapah, Asisten Komisioner Som Sak a/l Din Keliaw berkata, siasatan awal di tempat kejadian mendapati kebakaran berpunca daripada litar pintas di blok tengah rumah kongsi yang tidak berpenghuni itu.

“ Mayat lelaki berkenaan dijumpai oleh pihak Bomba sekitar pukul 5.40 pagi dan telah dihantar ke Hospital Tapah bagi tujuan bedah siasat.

“Pada waktu kejadian, kebanyakan pekerja tapak perumahan sedang tidur di rumah kongsi dan kejadian berlaku sekitar 50 meter daripada jalan besar,” katanya.

Tambah beliau, kejadian melibatkan lapan buah rumah kongsi yang terbakar daripada 14 rumah kongsi yang dibina.

“Operasi menyelamat melibatkan dua jentera berat, sebuah treler dan lori tangki Jabatan Bomba dan Penyelamat dari Balai Bidor yang berjaya mengawal kebakaran dalam masa 30 minit.

“Buat masa ini, pihak polis akan membuka Laporan Kebakaran dan mati secara mengejut. Siasatan lanjut diteruskan bagi mengetahui punca kebakaran,” katanya lagi.