LANGKAWI: Seorang warga British berumur 62 tahun ditemukan mati selepas dipercayai ditikam dengan sebilah pisau oleh isterinya dalam sebuah rumah di Kampung Gelam, Mukim Kedawang di sini awal pagi Khamis.

Ketua Polis Daerah Langkawi Supritenden Mohd Iqbal Ibrahim yang mengesahkan kes itu berkata mayat John William Jones dijumpai terbaring dalam keadaan mengiring di atas lantai ruang tamu rumah berkenaan kira-kira pukul 2.30 pagi.

“Sejurus menerima panggilan daripada seorang jiran pasangan itu, sepasukan polis dari Balai Polis Padang Matsirat telah berkejar ke tempat kejadian dan mendapati isteri si mati masih berada di sisi mayat,” katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Sebilah pisau sepanjang kira-kira 30cm dipercayai digunakan untuk menikam mangsa turut ditemui di atas lantai bilik tidur pasangan itu.

Menurut Mohd Iqbal, isterinya yang berumur 62 tahun yang juga warga British itu kini ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan.- Bernama