KUALA KANGSAR: Seorang wanita yang berasal dari China maut, manakala tiga lagi cedera selepas kereta yang mereka naiki terbabas lalu terlanggar pembahagi jalan di Kilometer 231.5 Lebuhraya Utara Selatan (arah utara), dekat sini, petang Sabtu.

Mangsa yang dikenali sebagai Zhang Wenzhuo, 27, meninggal dunia di tempat kejadian selepas dikatakan tersepit di tempat duduk penumpang hadapan.

Tiga mangsa yang cedera ialah pemandu, Lee Soon Heng,  31, berasal dari Kelang, Selangor, Pan Qi Ngijang, 58 dan Pan Mingxiu, 87, kedua-duanya berasal dari China.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Razali Ibrahim berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kemalangan itu yang melibatkan kereta jenis Toyota Vios kira-kira pukul 5.14 petang.

“Siasatan awal tempat kejadian mendapati kereta dari Kuala Kangsar hendak menghala Pulau Pinang dan apabila sampai di tempat kejadian pemandu dipercayai gagal mengawal kenderaan lalu terbabas sendiri ke kiri jalan lalu melanggar guardrail di bahu jalan sebelah kiri dan kemudian masuk ke dalam longkang,” katanya di sini.

Menurutnya, tiga mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Taiping untuk mendapatkan rawatan lanjut manakala mangsa yang meninggal dunia dihantar ke Hospital Kuala Kangsar untuk bedah siasat esok.

“Kedua-dua lelaki dan wanita yang duduk di belakang cedera parah dikepala dan masih tak mampu bercakap manakala pemandu tidàk parah,” ujarnya.

Sementara itu, jurucakap Bomba dan Penyelamat Kuala Kangsar memberitahu, anggota jentera A1-10 Kuala Kangsar dan jentera EMRS A2-02 yang tiba di tempat kejadia bertindak mengeluarkan mangsa yang cedera dari dalam kenderaan ke tempat yang selamat dan menyerahkan kepada pasukan perubatan.

Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II Zainal Taken tamat kira-kira pukul 6.35 petang.