KOTA KINABALU: Seorang lelaki warga emas yang hilang sejak tiga hari lalu ditemui selamat walaupun mengalami kecederaan selepas terjatuh ke dalam gaung di Bukit Lawa Mondau, Manggatal, malam tadi.

Mangsa Apeh Gongot, 73, berjaya diselamatkan sepasukan anggota bomba selepas menerima panggilan kecemasan daripada pihak polis berhubung kejadian itu pada jam 7.23 malam.

Ketua Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Khatizah Rahaban, berkata seramai tujuh anggota bersama dua kenderaan utiliti dikejar ke lokasi kejadian.

“Menurut maklumat, mangsa dipercayai keluar dari rumah untuk menangkap ikan di sungai sejak Khamis lalu, namun tidak pulang sehingga semalam.

“Keluarga mangsa dengan bantuan penduduk kampung cuba mencari mangsa sebelum menemuinya dalam keadaan selamat di sebuah gaung namun cedera di kaki dan tidak mampu berjalan kerana terlalu letih,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Khatizah berkata, laporan polis dibuat oleh ahli keluarga mangsa sebelum operasi menyelamat dilakukan selepas dimaklumkan kepada pasukan bomba.

“Bertindak atas maklumat, sepasukan anggota menjalankan operasi mengambil mangsa di tempat kejadian (gaung) sejauh tiga kilometer dan membawanya ke tempat selamat dengan kaedah ‘piggyback carry’.

“Mangsa kemudian diserahkan kepada ambulans sebelum dihantar ke Hospital Tuaran untuk rawatan lanjut,”

katanya.