IPOH: Seorang lelaki warga emas dijatuhi hukuman penjara empat bulan dan denda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah menawar dan memberi rasuah kepada pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) pada Ogos tahun lalu.
Hakim S Indra Nehru turut memerintahkan tertuduh Lee Kee Heong, 63, dipenjara dua minggu jika gagal membayar denda berkenaan.
Kee Heong menghadapi dua pertuduhan   iaitu menawarkan rasuah RM2,000 kepada Penolong Pegawai Imigresen Abdul Majid Mohamed sebagai dorongan untuk melepaskan Qaiser Iftikhar kerana melakukan kesalahan berada di Malaysia selepas tamat tempoh pas lawatan.
Kee Heong didakwa melakukan kesalahan itu melalui panggilan telefon di Bandar Baru Klebang, Ipoh, jam 6.07 petang 17 Ogos 2016.
Tertuduh turut didakwa memberi rasuah RM1,000 kepada pegawai yang sama di restoran McDonald di Bandar Meru Raya Ipoh, jam 6.30 petang keesokan harinya.
Kedua-dua tuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 1959/63 yang sabit kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama.
Bagi kesalahan tersebut, Indra Nehru memerintahkan Kee Heong dipenjara dua bulan bagi setiap kesalahan daripada tarikh dia ditangkap pada 15 September lalu dan denda RM10,000 bagi setiap pertuduhan dengan kedua-dua hukuman penjara berjalan serentak.
Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nurul Wahida Jalaluddin manakala tertuduh diwakili peguam KC Lai.