SUNGAI SIPUT – Seorang warga emas ditemui mati dalam sebuah ladang kelapa sawit, selepas dilaporkan hilang ketika menangkap ayam hutan berhampiran Kampung Jaya Setia, hari ini.

Lelaki berusia 68 tahun itu ditemui pasukan penyelamat yang menggerakkan operasi mencari sejurus mendapat laporan kehilangan mangsa, tengah malam tadi.

Mangsa dipercayai masuk ke kawasan hutan bersama dua rakannya sejak jam 9 pagi, semalam dan sepatutnya keluar pada jam 1 petang.

Bagaimanapun, hingga lewat petang mangsa tidak keluar dari hutan menyebabkan dua rakannya melakukan pencarian, namun gagal menjumpai mangsa.

Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Siput, Jeffrey Abdullah berkata, mangsa ditemui oleh orang kampung yang menyertai operasi mencari sekitar jam 1 petang tadi.

Menurutnya, operasi mencari ditangguhkan pada sebelah malam berikutan terdapat binatang buas di hutan itu.

“Operasi diteruskan pagi ini bersama agensi bantuan lain termasuk polis yang bersenjata, sebaik ditemui, pasukan perubatan yang hadir mengesahkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa selamat dibawa keluar dari ladang berkenaan dan diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

Operasi melibatkan 45 anggota pelbagai agensi dan orang awam itu tamat pada jam 2.14 petang – berita harian