BAGAN DATUK: Sepasang warga emas terpaksa hidup dalam keadaan daif di dalam sebuah rumah usang yang beratapkan langit selama dua tahun di Kampung Kota, Hutan Melintang.
Ahmad Hashim, 67 berkata sekiranya cuaca amat panas atau hujan dia akan menumpang di rumah anaknya.
“Rumah ini saya bina sendiri sekitar tahun 1962 dan rasanya empat tahun lepas baru bumbung saya ini bocor.
“Dulu gagah lagi duduk juga di rumah ini tapi baru-baru ini dalam satu atau dua tahun lalu baru saya pindah ke rumah anak saya dan menetap di situ,” katanya bapa kepada tujuh orang anak ini.
Beliau yang melakukan kerja-kerja kampung memberitahu walaupun ketika ini menetap bersama anak ketiganya, namun dia masih berharap rumah itu dapat dibaiki.
“Kalau boleh memang saya nak bumbung itu dibaiki…saya sayangkan rumah saya ini….,” ujarnya.
Namun keperitan hidup sepasang warga emas itu bakal berubah apabila mendapat perhatian Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.
Kerajaan negeri melalui Yayasan Bina Upaya (YBU) telah mengadakan lawatan dan menawarkan untuk membina rumah baharu kepada pasangan tersebut.
Ketua Eksekutif YBU,  Datuk Ismail Safian berkata pihaknya bersetuju untuk membina sebuah rumah dua bilik berharga RM35,000 untuk pasangan tersebut.
 
“Kita telah melakukan lawatan sebentar tadi dan mereka memang memerlukan pertolongan, sudah tentu kita akan bantu…kita akan bina sebuah rumah dengan dua bilik berharga RM35,000.
 
“Kita juga akan tolong enam lagi keluarga di Kampung Kota ini, melibatkan pembinaan rumah baharu dan membaik pulih,” katanya ketika ditemui di Kampung Kota pada Rabu bersempena program Permukiman Menteri Besar di Daerah Bagan Datuk.
 
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pertanian, Perladangan, Penerangan dan Pembangunan Modal Ihsan Datuk Saarani Mohamad  dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat Datuk Rusnah Kassim.
 
Beliau memberitahu program tersebut diadakan bagi menyelami denyut nadi  dan kesusahan dihadapi rakyat di daerah tersebut serta mencari jalan penyelesaiannya.
 
“Ini kerja kita di YBU membantu rakyat yang memerlukan,” ujarnya ringkas.