SERI MANJUNG – Teka-teki mengenai seorang lelaki warga emas yang dilaporkan hilang sejak 8 April lalu ketika menjerat haiwan di hutan berhampiran Teluk Rubiah, Seri Manjung, berakhir apabila mayatnya ditemui lewat hari ini.

Mayat mangsa Ho Tong Chim, 89, yang berasal dari Kampung Datuk Seri Kamaruddin di sini, ditemui 15 hari selepas dilaporkan hilang.

Operasi mencari dan mengesan mangsa telah dilancarkan pasukan Bomba dan Penyelamat Manjung bersebelahan kuari Teluk Rubiah sejak 8 April namun gagal mengesan mangsa.

Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Seri Manjung mengesahkan menerima panggilan pada jam 11.58 pagi.

“Sebaik tiba di tempat kejadian, Bomba dimaklumkan mangsa telah ditemui oleh orang awam dalam jarak 1.5km dari motor yang diletakkan oleh mangsa, bersebelahan kuari.

“Pasukan menemukan seorang lelaki berbangsa Cina telah meninggal dunia dan disahkan oleh pegawai perubatan yang hadir.

“Pasukan BBP Seri Manjung dengan kekuatan lapan orang anggota termasuk tiga anggota dari unit Emergency Medical Rescue Services bersama polis membawa mangsa keluar menggunakan ‘stretcher’ keluar dari lokasi.

“Mangsa kemudiannya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” ujar beliau.

Operasi diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan II Abdul Azhar Ismail dan operasai tamat sepenuhnya pada pukul 1.51 petang.