JOHOR BAHRU: Warga emas lelaki berusia 66 tahun maut akibat diragut dalam kejadian berhadapan sebuah restoran di Jalan Sri Pelangi, Taman Sri Pelangi di sini, pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS) Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 5.10 pagi yang memaklumkan kejadian sebelum sepasukan polis dikejarkan ke lokasi.

“Sebaik tiba, kami dapati mangsa, Wang Sue Jing terbaring berlumuran darah dan dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Siasatan awal menerusi rakaman litar kamera tertutup (CCTV) mendapati, mangsa bekerja sebagai pembantu kedai berjalan kaki seorang diri membawa beg silang tiba-tiba dihampiri dua lelaki menaiki sebuah motosikal dipercayai Yamaha Lagenda merah dari arah belakang sebelum meragut beg silangnya.

“Suspek terus merentap beg silang mangsa menyebabkan warga emas itu terjatuh dan tidak sedarkan diri kerana mengalami kecederaan di kepala,” katanya.

Beliau berkata, saksi bebas yang menyaksikan kejadian hanya memberitahu ternampak motosikal dinaiki dua lelaki memecut laju meninggalkan tempat kejadian manakala mangsa pengsan di jalan raya.

Menurutnya, mangsa yang beralamat terakhir di Pekan Nenas, Pontian, dirawat di Zon Rawatan Kecemasan dan disahkan meninggal dunia jam 2.10 petang semalam akibat darah beku di dalam otak.

Katanya, hasil bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia akibat darah beku di otak, tiada penyakit dan punca kematian disebabkan unsur jenayah.

“Pada masa sama, pasukan khas yang ditubuhkan bagi mengesan suspek berjaya menahan empat lelaki dalam dua tangkapan berbeza iaitu dua lelaki di tepi Jalan Stulang Laut, Taman Stulang dan dua lelaki lain di Stesen Minyak Petron, Jalan Tebrau, di sini, kira-kira jam 8.30 malam.

“Keempat-empat suspek berusia 22 dan 23 tahun itu ditahan reman sehingga 6 Julai ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Hasil tangkapan membawa kepada penemuan beberapa barang dipercayai hasil rompakan termasuk telefon bimbit Nokia, kunci motosikal, beg sandang mengandungi sebatang besi yang diubahsuai dan pelbagai lagi,” katanya.

Menurutnya, pihaknya kini cuba mengenal pasti sama ada mereka terbabit dalam kejadian samun lain atau tidak.

Berikutan itu, katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil bagi membantu siasatan atau hubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) JBS di talian 07-2218999 atau pegawai penyiasat, Asisten Superintendan Reseman Ajiman di nombor 012-3408166.

Menurutnya, mayat mangsa kini berada di rumah keluarganya di Pekan Nenas dan dijangka dibakar Rabu ini di tempat Pembakaran Mayat Batu 23 Ulu Choh, Iskandar Puteri – berita harian