KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warga emas ditemui rentung selepas sebuah rumah kedai tiga tingkat di Lorong Haji Taib 2, di sini, terbakar, pagi tadi.

Dalam kebakaran jam 6.30 pagi itu, mangsa yang belum diketahui identiti dan berusia dalam lingkungan 60-an ditemui di sebuah bilik di tingkat dua rumah kedai berkenaan sejurus api dipadam sepenuhnya.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kuala Lumpur, Khiruddin Drahman, berkata pihaknya mengambil masa kira-kira 15 minit untuk mengawal kebakaran dan memadam api.

Katanya, terdahulu, sepasukan 11 anggota dan pegawai dengan kekuatan dua unit jentera berat bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Titiwangsa dikejarkan ke lokasi sebaik menerima panggilan jam 6.37 pagi.

“Kebakaran membabitkan sebuah rumah kedai tiga tingkat. Kebakaran berlaku di tingkat dua premis berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, sebaik api padam sepenuhnya kira-kira jam 7 pagi, pihaknya membuat pemeriksaan sebelum menemui mayat seorang lelaki rentung di sebuah bilik di tingkat dua.

“Kebakaran dipercayai berpunca dari bilik di mana mangsa ditemui. Bagaimanapun, pasukan forensik JBPM masih menjalankan siasatan berhubung punca kebakaran,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Superintendan Rudy Abdullah, berkata pihaknya mengklasifikasikan kes sebagai mati mengejut (SDR).

“Ketika ini, kami belum dapat mengenal pasti identiti mangsa dan pasukan forensik polis juga masih menjalankan siasatan. Tiada unsur jenayah ditemui di lokasi.

“Mayat lelaki berkenaan dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat,” katanya – berita harian