GERIK: Seorang wanita warga emas maut manakala tiga cedera apabila kenderaan mereka terlibat dalam sebuah kemalangan dengan lori tiga tan yang membawa muatan ayam di Jalan Gerik-Tasek Banding pada petang Sabtu.

Dalam kejadian pada sekitar jam 2 petang itu, wanita warga emas itu yang menaiki Perodua Alza maut manakala tiga penumpang lagi cedera.

Dua penumpang Perodua Alza itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Gerik (BBP Gerik) berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai insiden itu pada 2.21 petang.

“Setibanya di tempat kejadian, kami mendapati dua orang mangsa kanak-kanak lelaki berusia tujuh dan 11 tahun yang cedera telah dihantar ke hospital oleh orang awam.

“Tiga lagi mangsa yang terdiri daripada seorang wanita dewasa mengalami kecederaan manakala dua orang kanak-kanak selamat.

“Kami juga mendapati seorang warga emas wanita telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan yang hadir,” katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Menurut jurucakap itu, pasukan bomba dan penyelamat mengeluarkan mayat mangsa yang berada di tempat duduk hadapan penumpang dengan menggunakan pengusung.

“Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Menurutnya, operasi yang diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan II Mohd Nizam Zakaria itu tamat sekitar 3.23 petang.