Oleh: Nazialita Geynna Maharan

TELUK INTAN: Seorang warga emas maut apabila motosikal yang ditunggangnya terlibat dalam kemalangan jalan raya berhampiran persimpangan Pekan Baru, Jalan Padang Tembak dekat sini pada pagi Jumaat.

Dalam kejadian pada pukul 11.30 pagi, Loh Kang Min, 77, dipercayai bertembung dan dirempuh oleh sebuah treler ketika dia dalam perjalanan dari Jalan Maharajalela ke Pekan Baru.

Kang Min meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Mohd Marzukhi Mohd Mokhtar berkata, kedua-dua kenderaan itu sedang menghala ke arah yang sama.

“Ketika tiba di persimpangan itu, mangsa membelok motosikalnya ke sebelah kanan, dia dilanggar di bahagian sisi kiri oleh treler tersebut.

“Berikutan insiden itu, mangsa telah meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi.

Mohd Marzukhi berkata, bedah siasat akan dijalankan di Hospital Teluk Intan bagi mengesahkan punca kematian.

Beliau berkata, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 41(1)(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987.