MUKAH: Hasrat seorang warga emas berusia 72 tahun menyejukkan diri selepas bekerja di bawah terik matahari bertukar tragedi apabila dibaham buaya di Sungai Kampung Bakong, Dalat, di sini.

Ketua Polis Daerah Dalat, Deputi Superintenden Roslan Leman, berkata sebelum kejadian itu, mangsa ada memberitahu adiknya untuk mandi di sungai berkenaan kerana cuaca agak panas.

“Namun, mangsa tidak pulang ke rumah sehingga jam 4 petang semalam (kelmarin). Berikutan itu, adiknya cuba mencarinya di tebing sungai berkenaan, namun hanya menemui baju dan selipar abangnya.

“Bimbang perkara buruk berlaku, adik mangsa bersama empat penduduk kampung meneruskan pencarian di sekitar tebing sungai berkenaan,” katanya di sini hari ini.

Mayat warga emas itu ditemui penduduk kampung di sungai berhadapan Kampung Terus, Oya, kira-kira empat kilometer dari tebing sungai tempat mangsa mandi.

“Mayat ditemui dalam keadaan tidak lengkap anggota badan, dengan kaki sebelah kanannya hilang. Mayat kemudian dibawa ke tebing sungai sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Katanya, kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut dan hasil siasatan tidak menemui sebarang unsur jenayah – Berita harian