BAGAN SERAI– Seorang lelaki warga emas maut setelah digilis oleh sebuah lori kontena berhampiran sebuah bank di Jalan Besar, Bagan Serai pada Jumaat.

Menurut jurucakap Pasukan Bomba dan Penyelamat,mangsa yang menunggang motosikal terlibat dengan kemalangan membabitkan sebuah lori kontena.

Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bagan Serai menerima panggilan kecemasan pada jam 12.13 tengahari dan mengesahkan kejadian tersebut.

Mangsa yang berumur dalam lingkungan 60 tahun disahkan maut akibat dari kemalangan itu.

Dalam pada itu, anggota bomba bertindak mengutip cebisan daging mangsa dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Operasi tamat pada jam 12.54 tengahari.