KUALA KANGSAR: Seorang wanita warga emas meninggal dunia selepas dikatakan dihempap sebatang pokok tumbang di Kampung Jenalik, di belakang Masjid Ubudiah di sini, pagi Ahad.

Mangsa dikenali sebagai Norizan Am, 61, disahkan meninggal dunia dalam kejadian kira-kira 11.50 pagi itu.

Menurut Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu kira-kira jam 11.56 pagi.

“Setibanya di tempat kejadian, didapati sebatang pokok telah tumbang menghempap dua buah rumah dan sebuah kereta.

“Terdapat seorang wanita berumur lingkungan 61 tahun, Norizan Am telah disahkan meninggal dunia oleh pihak kesihatan akibat ditimpa pokok,” katanya pada Ahad.

Menurut jurucakap itu, mangsa telah berjaya dikeluarkan dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Menurutnya lagi, mangsa adalah kakak kepada Pegawai Bomba Abdul Jalil Am yang juga bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kangsar.

Ketika kejadian, mangsa dikatakan sedang menolak basikalnya untuk balik ke rumah.

Kerja-kerja menyelamat yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II Samsu Bahrin Aziz, turut dibantu Jabatan Kerja Raya, Majlis Perbandaran Kuala Kangsar dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).