IPOH: Seorang warga emas maut selepas dipercayai dirempuh oleh pemandu lori yang bertengkar dengannya berhampiran lampu isyarat di Kelab Golf Diraja Ipoh, Jalan Sultan Azlan Shah, di sini, petang Sabtu.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.45 petang itu, mangsa Yap Kow Chye, 66, beralamat Desa Cempaka, di sini parah selepas dipercayai digilis pemandu lori berusia 32 tahun.

Mangsa disahkan meninggal dunia kira-kira jam 7.40 malam ketika sedang dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby berkata, pihaknya menerima maklumat daripada hospital pada 9.15 malam yang memaklumkan mangsa meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya.

Katanya, siasatan lanjut mendapati pemandu lori itu membuat laporan di Balai Polis Sungai Senam memaklumkan dia memandu sebuah lori di jalan berkenaan sebelum dipotong sebuah kereta yang dipercayai dipandu si mati.

“Suspek memberhentikan lori dipandunya manakala mangsa keluar daripada kereta dengan membawa sebatang kayu sebelum memukul cermin kiri lori berkenaan.

“Suspek tidak keluar dari lori berkenaan mengakibatkan mangsa beralih ke tempat bahagian pemandu dalam keadaan marah.

“Disebabkan takut dengan tindakan mangsa, suspek terus memecut lori berkenaan dari tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Menurut Mohd Ali, berdasarkan keterangan saksi di tempat kejadian, mangsa dipercayai terjatuh dan dilanggar oleh lori berkenaan, namun suspek tidak menyedari kejadian itu.

Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik HRPB untuk bedah siasat dan terdapat kesan kecederaan akibat terkena tayar pada badan mangsa.

Mohd Ali berkata, semakan mendapati pemandu lori berkenaan mempunyai tiga rekod jenayah membabitkan kes rogol, tipu dan dadah.

Di samping itu, katanya, ujian saringan air kencing terhadap suspek mendapatinya positif dadah jenis syabu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.