SABAK BERNAM: Seorang lelaki warga emas maut selepas motosikal yang ditunggang dipercayai dirempuh kereta di Kampung Bagan Nira, di sini, petang semalam.

Dalam kejadian jam 4 petang itu, mangsa Salimun Basman, 65, yang menunggang motosikal jenis Modenas Kriss meninggal dunia di lokasi kejadian dipercayai akibat retak di bahagian kepala dan cedera pada anggota badan lain.

Pemandu Proton Waja yang juga lelaki berusia 39 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Superintendan Nor Azmi Isa berkata, siasatan awal mendapati Proton Waja dari arah Kuala Lumpur menuju ke Hutan Melintang manakala mangsa dari arah Sabak Bernam menuju pulang ke rumahnya di Sepintas.

“Tiba di lokasi, kereta itu dipercayai menukar lorong secara mengejut dari kiri ke kanan sebelum merempuh mangsa yang berada di lorong kanan itu,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata, akibat rempuhan itu, mangsa yang menunggang berseorangan tercampak ke atas kereta dan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Menurutnya, mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) di sini untuk bedah siasat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 – berita harian