LANGKAP– Seorang wanita warga emas maut setelah dirempuh sebuah lori ketika melintas jalan berhampiran kilometer 21, Jalan Teluk Intan, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Mohd Marzukhi Mohd Mokhtar dalam satu kenyataan berkata, kejadian yang berlaku jam 8.45 malam itu melibatkan pemandu lori berumur 61 tahun yang bekerja sebagai petani, dalam perjalanan dari arah Langkap menghala ke Teluk Intan.

“Hasil siasatan awal di tempat kejadian mendapati lori dalam perjalanan dari arah Langkap menghala ke Teluk Intan. Sampai di lokasi kejadian, tiba-tiba pejalan kaki berusia 74 tahun, bersama cucunya melintas jalan, pemandu lori membrek dan cuba mengelak namun terlanggar pejalan kaki dan menyebabkan lori terbabas.

“Pemandu lori tidak mengalami kecederaan manakala pejalan kaki meninggal dunia semasa menerima rawatan di hospital,” katanya.

Dalam pada itu, bedah siasat yang dijalankan ke atas mangsa mendapati kematian disebabkan oleh kecederaan akibat kemalangan jalan raya dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.