Oleh:Nazialita Geynna Maharan

IPOH: Seorang warga emas meninggal dunia apabila dirempuh oleh sebuah van di Jalan Raja Ashman Shah berhampiran Padang Polo pada pagi Isnin.

Mangsa, Cheang Paik Lai, 75, dipercayai sedang melintas jalan sebelum dilanggar oleh van dalam kejadian pada pukul 7.35 pagi itu. Lelaki itu maut di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, mangsa dipercayai melintas jalan tersebut secara mengejut di laluan kereta Perodua MyVi yang sedang menghala ke Bulatan Sultan Abdul Aziz.

“Pemandu kereta MyVi iaitu seorang wanita berusia 26 tahun, sempat mengelak dan menukar ke lorong kiri. Bagaimanapun, van tersebut yang berada di belakang MyVi itu tidak sempat mengelak lalu merempuh mangsa sebelum ia terlanggar bahagian belakang kenderaan di hadapannya,” katanya kepada pemberita.

Chang Keong berkata, berikutan impak rempuhan mangsa yang berasal dari Taman Meranti,Ipoh itu meninggal dunia di tempat kejadian.

Katanya, hasil bedah siasat mendapati punca kematian mangsa adalah kecederaan parah di bahagian dada akibat rempuhan kenderaan.

“Tiada tangkapan dilakukan dan kes akan disiasat lanjut di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.