IPOH: Suspek utama kes warga emas maut, dipercayai dirodok dengan sudu besi, masih tidak sedarkan diri.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner, Mohd Ali Tamby berkata, lelaki berumur 30-an tahun itu kink berada di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh.

Sebelum ini, pihak polis telah merakamkan keterangan dua beranak, susulan kejadian itu pada Sabtu.

Bedah siasat mayat mangsa juga telah dijalankan pada Ahad dan siasatan lanjut masih dijalankan.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengahari Sabtu, seorang lelaki warga emas ditemui mati dengan kesan luka di dada dalam satu kejadian pergaduhan di sebuah rumah kedai di Jalan Theatre, di sini.

Mangsa, Chai Ah Kin, 83 tahun, maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan teruk, dipercayai akibat ditikam dengan sudu besi oleh suspek.

Dalam kejadian itu, suspek turut mengalami cedera parah setelah ditetak oleh seorang lagi lelaki yang mahu menyelamatkan seorang wanita yang merupakan ibunya daripada dicekik.