KOTA LAMA KIRI: Seorang lelaki warga emas maut apabila kereta yang dipandunya bertembung dengan sebuah lori ais di Kilometer 45, Jalan Ipoh – Taiping, berhampiran Stesen JPJ, tengahari Ahad.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.45 tengahari itu, mangsa, Kamaruddin Maat, 65, dari Chepor, maut di tempat kejadian akibat tersepit di bahagian pemandu.

Manakala, pemandu lori ais, lelaki berusia 36 tahun dari Kampung Tawas, Ipoh, tidak mengalami kecederaan.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Ahmad Termizi Abd Haq ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Siasatan awal mendapati, kenderaan jenis Perodua Kancil dipandu Kamaruddin datang dari arah Kuala Kangsar manakala lori tersebut di laluan bertentangan.

“Sampai di tempat kejadian, pemandu lori ais mendakwa Perodua Kancil tersebut tiba-tiba masuk ke laluan bertentangan.

“Pemandu lori ais tidak sempat mengelak menyebabkan berlaku pertembungan sehingga Perodua Kancil itu remuk di bahagian depan,” katanya.

Pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan manakala Pegawai Perubatan mengesahkan pemandu Perodua Kancil maut di tempat kejadian.

Tambah beliau, siasatan lanjut masih diteruskan dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.