TAPAH: Seorang warga emas maut selepas kereta yang dinaiki terjatuh ke dalam gaung kira-kira 500 meter di Batu 25, Jalan Tapah – Cameron Highlands, dekat sini, petang Rabu.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintenden Wan Azharudin Wan Ismail berkata, mangsa, Awang Kechik Dollah, 75, penumpang hadapan kereta berkenaan, meninggal dunia di tempat kejadian setelah tercampak keluar dari kereta yang dipandu menantunya, Suziana Afzan, 32.

Suziana hanya mengalami cedera ringan manakala empat lagi anggota keluarganya tidak mengalami kecederaan.

Kesemua mereka beralamat di Kuala Krai, Kelantan.

Wan Azharudin berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu 6.50 petang.

“Siasatan awal dijalankan ditempat kejadian mendapati kenderaan itu dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Cameron Highlands.

“Apabila sampai di tempat kejadian dipercayai pemandu telah hilang kawalan dan jatuh gaung sedalam 500 meter, “ katanya di sini awal pagi Khamis.

Menurutnya, pihak bomba berjaya mengeluarkan semua mangsa dan dihantar ke Hospital Cameron Highlands manakala simati dibawa ke Hospital Tapah untuk bedah siasat.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.