KUALA KANGSAR: Seorang warga emas ditemui mati akibat serangan jantung ketika membersihkan bengkel kenderaannya yang telah ditutup.

Mayat Lee Wah Seng, 71, ditemui tersembam di atas pagar kebun getah sebelah tapak bengkel yang telah ditutup pada 2013, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Razali Ismail berkata, si mati dipercayai rebah kerana terlalu penat memotong dahan pokok getah yang tumbang dan masuk ke bengkelnya.

“Tiada kecederaan pada badan dan tiada kesan hempap pokok,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, si mati mengusahakan bengkel membaiki kenderaan Lee Brothers Jalan Kenas, Jerlun sejak tahun 1994 bersama isterinya sendiri.

Bengkel itu telah ditutup setelah si mati dan isteri yang berumur 66 tahun, tidak mampu lagi menguruskannya.

Katanya, sejak ditutup, si mati setiap hari akan pergi ke tapak bengkelnya pada waktu pagi dan balik waktu petang untuk membersihkan bengkel tersebut.

Bagaimanapun, ujarnya, kira-kira 7.10 petang semalam, isterinya dapati suaminya tidak pulang ke rumah dan membuat laporan polis kira-kira 11.15 malam tadi.

“Si mati dibawa ke Hospital Kuala Kangsar dan disahkan meninggal dunia,” katanya.

Menurut Razali, bedah siasat yang dijalankan kira-kira 11.45 malam mengesahkan punca kematian adalah ‘Myocardial Infarction’ (serangan jantung akibat kesesakan nafas mengejut).