LUMUT – Seorang lelaki warga emas maut apabila kereta jenis Kia Spectra yang dipandunya melanggar tembok rumah dalam kemalangan di Taman Medan Seri Sentosa 6 di sini semalam.

Kejadian pada pukul 10 malam itu mengakibatkan mangsa, Wong Sam, 75, maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Muhammad Hanif Othman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam sebelum bergegas ke tempat kejadian.

“Siasatan awal mendapati mangsa dalam perjalanan dari arah Pekan Ayer Tawar menghala ke rumahnya di Taman Seri Indah.

“Tiba di tempat kejadian, kereta yang dipandu mangsa dipercayai terbabas sebelum melanggar tembok batu sebuah rumah di Jalan Besar Medan Seri Sentosa, Ayer Tawar,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini sebentar tadi.

Tambah Muhammad Hanif, akibat kemalangan tersebut, mangsa mengalami kecederaan parah dan maut di tempat kejadian.

“Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Seri Manjung untuk proses bedah siasat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – K! ONLINE