Oleh:Nazialita Geynna Maharan

TAIPING: Seorang lelaki warga emas maut ditemui maut ketika menuruni Bukit Mas di sini, selepas berjoging bersama anak lelakinya pada petang Ahad.

Dalam kejadian pada sekitar jam 6 petang, Ooi Chin Lean, 63, dipercayai maut akibat serangan jantung ketika sedang menuruni bukit tersebut bersama-sama anaknya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Taiping, Superitendan Razlam Abd Hamid berkata, kematian lelaki berkenaan disedari oleh anaknya ketika dua beranak itu menuruni Bukit Mas.

Katanya, anak mangsa, Ooi Jiunn Chyuan, 32, berjalan kaki menuruni Bukit Mas bersama-sama bapanya dan dia telah mendahului dan meninggalkan bapanya di belakang.

“Pada kira-kira jam 6.20 petang, Jiunn Chyuan menyedari ayahnya tidak lagi berada di belakangnya. Dia berpatah balik memanjat bukit itu dan ternampak bapanya terbaring di laluan pejalan kaki di situ.

“Dia cuba untuk mengejutkan ayahnya yang tidak sedarkan diri. Anak mangsa kemudiannya pulang ke rumah untuk memberitahu ibunya.

“Isteri warga emas itu menghubungi ambulans dan pihak perubatan kemudiannya mengesahkan bahawa suaminya telah meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Razlam berkata, hasil bedah siasat di Hospital Taiping mendapati punca kematian lelaki itu adalah disebabkan oleh serangan jantung dan kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut.