Pontian: Warga emas maut selepas motosikal ditunggangnya terbabit kemalangan dengan kereta di Kilometer 3.8 Parit Kassim, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Pontian Superintendan Zakaria Abd Rahman berkata, dalam kejadian jam 11.55 pagi itu, Ko Pei Chun, 61, maut di tempat kejadian.

Katanya, kejadian dipercayai berlaku apabila kereta yang dipandu Wang Jia Yi, 22, hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan.

“Kereta itu terlanggar motosikal mangsa menyebabkan Ko tercampak ke dalam parit,” katanya.

Beliau berkata, kemalangan itu turut mengakibatkan kereta berkenaan terbabas dan masuk ke dalam parit berdekatan.

Katanya, pemandu kereta yang cedera dihantar ke Hospital Pontian untuk rawatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya – berita harian