MANJUNG– Seorang lelaki maut apabila jatuh terhempas ke batu ketika sedang memancing di Pantai Teluk Batik, di sini pada Ahad.

Mangsa yang berumur 73 tahun disahkan maut di tempat kejadian kerana jatuh pada ketinggian 20 kaki.

Menurut Jurucakap Bomba dan Penyelamat, pihaknya menerima panggilan berkenaan kejadian itu pada jam 7.15 malam.

“Balai Bomba dan Penyelamat Seri Manjung sampai di tempat kejadian dan mendapati mangsa cedera parah di kepala dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan,”ujarnya.

Anggota bomba seterusnya menggunakan bucket stretcher untuk membawa mangsa naik ke atas dan menyerahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Terdahulu, mangsa dilaporkan hilang di kawasan pantai Teluk Batik sebelum operasi mencari dan menyelamat dijalankan oleh pasukan bomba.