IPOH: Seorang wanita warga emas maut terjatuh longkang di belakang rumahnya di Taman Pakatan Jaya, dekat, di sini, pagi Jumaat.

Mangsa dikatakan terjatuh ke dalam longkang sedalam kira-kira tiga meter itu ketika membuang sampah dan mengutip botol-botol kosong.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu kira-kira pukul 9.20 pagi.

“Simati tinggal seorang diri di rumah waktu kejadian kerana anaknya sudah keluar bekerja dan hampir setiap pagi simati akan pergi buang sampah dan kutip botol-botol plastik di tempat tersebut untuk dijual.

“Mangsa telah dijumpai oleh seorang perempuan Cina yang hendak buang sampah di tempat tersebut dan telah ternampak mangsa tersemban dalam longkang,” katanya di sini.

Perempuan tersebut kemudiannya meminta bantuan seorang lelaki untuk menghubungi Balai Polis Tambun.

Ambulan tiba di tempat kejadian kira-kira 9.50 pagi dan hasil pemeriksaan, pegawai perubatan mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.

Mohd Ali berkata, siasatan lanjut di tempat kejadian mendapati tiada unsur-unsur jenayah menyebabkan kematian mangsa.

Mangsa dikatakan mengidap penyakit darah tinggi dan kencing manis hampir 20 tahun dan mendapat rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh dan Klinik Kampung Simee .