KUALA LANGAT: Seorang lelaki warga emas maut tertimbus ketika melakukan kerja memasang paip bawah tanah di Jalan Permatang Pasir-Bukit Jugra, di sini, pagi tadi.

Ketua Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai, Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Alimaddia Bukri, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.36 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Banting dikejarkan ke lokasi kejadian.

Beliau berkata, mangsa dikenal pasti sebagai Lee Kon Sin, 62, berasal dari Sungai Lui, Raub, Pahang.

“Anggota bomba mengambil masa hampir tiga jam untuk mengeluarkan mangsa daripada timbunan tanah pada jam 2.26 petang.

“Mangsa disahkan sudah meninggal dunia oleh pasukan paramedik yang turut berada di lokasi kejadian,” katanya kepada NSTP, di sini, hari ini.

Beliau berkata, punca kejadian masih dalam siasatan dan mayat mangsa dibawa ke Hospital Banting untuk bedah siasat – berita a harian