KAMPAR: Dua warga emas didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan mendera seekor anjing di Kampar, pada November tahun lalu.

Wong Then Yoong, 66, dan Aw Soon Fatt, 65, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atas mereka dibacakan dalam bahasa Kantonis di hadapan Majistret Nurul Asyifa Redzuan.

Kedua-dua warga emas itu didakwa dengan sengaja menyeret seekor anjing menggunakan rantai besi sejauh 2.3 kilometer hingga menyebabkan kesakitan dan penderitaan terhadap haiwan berkenaan.

Kedua-dua lelaki itu didakwa melakukan kesalahan tersebut di Jalan Batu Sinar, Bandar Baru Kampar pada 11 pagi, 11 Nov 2016.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 44 (1) (d) Akta Binatang 1953 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah akta sama.

Jika sabit kesalahan, Wong dan Aw boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara hingga setahun atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Kenneth Onn dan kedua-dua tertuduh diwakili peguam Linda Yii.

Nurul Asyifa membenarkan kedua-duanya diikat jamin RM4,000 setiap seorang dengan seorang penjamin dan menetapkan 7 Sept depan untuk sebutan semula serta serahan dokumen.

Sebelum ini, pada 29 Nov 2016, Wong dan Aw telah dijatuhi hukuman penjara sebulan dan denda RM200 selepas mengaku bersalah terhadap dakwaan mengikut Seksyen 44 (1) (d) Akta Binatang 1953 yang sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM200 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Bagaimanapun pada 4 Ogos lepas, Mahkamah Tinggi Ipoh mengarahkan dua warga emas didakwa semula atas pertuduhan mendera seekor anjing di Kampar pada November tahun lalu selepas mendapati hukuman dijatuhkan Mahkamah Majistret Kampar tidak mengikut pindaan akta terbaru.

— BERNAMA