IPOH –  Seorang warga emas merayu mana-mana pihak yang bermurah hati tampil membantu membaiki rumah usangnya yang daif dan hampir menyembah bumi.

‎Noran Abdul Manaf,78, yang merupakan seorang pesara kerajaan berkata rumah itu kini didiami bersama isterinya yang tidak bekerja.

Beliau berkata rumah itu merupakan rumah warisan yang tidak pernah dibaiki‎ sejak didiami 20 tahun dulu.

Menurutnya, keadaan atap rumah itu kini semakin usang dimakan anai-anai, dinding mereput dan atap yang berkarat dan bocor.

“Pakcik hanya bergantung harap pada penternakan kambing yang tidak seberapa dan baru-baru ini ada membeli beberapa keping atap kerana air sudah mencurah masuk pada waktu hujan.

“Kalau sebelum ini pakcik masih boleh berkebun dan mengambil upah membersihan kebun orang kampung tetapi sekarang dah tidak mampu kerana tak larat,” katanya ketika ditemui Suara Perak.

Jelasnya,beliau mula menetap di rumah berkenaan sebaik sahaja bersara dan kesemua wang pencennya digunakan untuk membina rumah kecil tempatnya berteduh dari hujan panas itu.

 Noran berkata, beliau tidak pernah meminta sebarang bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat ( JKM) kerana mengganggap bahawa dirinya masih mampu menyara kehidupan sendiri.

Dengan 33 cucu, beliau melahirkan rasa  amat sedih melihat keluarganya terpaksa berhimpit di waktu Aidilfitri kerana air akan masuk di bilik tidur dan beberapa bahagian ruang tamu.

“Kalau nak dikirakan dasar rumah ini pun agak rapuh kerana Kg Ulu Kuang ini dulu terletak berhampiran dengan kilang simen jadi aktiviti di situ dulu menyebabkan struktur tanah kurang padat.

“Pakcik cuma harap, ada pihak sudi tampil membantu pakcik untuk menggantikan atap yang semakin usang dan bocor. Harap-harap impian ini boleh jadi kenyataan sebelum Aidilfitri ini sebab nak tengok anak dan cucu raikan Syawal dalam keadaan yang lebih selesa,”ujarnya.