RAUB: Simbah petrol pada badan sebelum menyalakan pemetik api dan membakar diri sendiri.

Itu tindakan nekad dilakukan seorang lelaki warga emas apabila bertindak menamatkan nyawanya di hadapan Tokong Kwan Yin, Sungai Ruan, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Wan Mohd Zahari Wan Busu, berkata dalam kejadian jam 8.45 pagi itu, mayat mangsa dikenali sebagai Ning Poh, 81, ditemui dalam keadaan terbaring oleh anggota polis yang tiba ke tempat kejadian selepas dihubungi orang awam.

“Anggota polis menggunakan alat pemadam api untuk memadamkan kebakaran pada badan mangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelas beliau, pegawai perubatan dari Hospital Raub yang tiba di lokasi kejadian mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia sebelum mayatnya dibawa ke Hospital Raub untuk tindakan lanjut.

Wan Mohd Zahari berkata, siasatan awal mendapati, mangsa meninggal dunia akibat lemas terhidu asap termasuk melecur keseluruhan badan.

Tambah beliau, mangsa yang tinggal bersama cucunya itu sering mengatakan hasrat mahu membunuh diri kerana tidak tahan dengan penyakit yang dialaminya.

“Polis mengesahkan kejadian itu tidak membabitkan unsur jenayah dan polis mengklasifikasikan kejadian sebagai mati mengejut,” katanya – berita harian