Oleh:Nazialita Geynna Maharan

SUNGAI SIPUT: Seorang lelaki warga emas yang parah dipijak gajah dalam insiden tragis di Kilometer 19, Jalan Raya Timur Barat (JRTB) pada 1 Februari lepas menghembuskan nafas terakhir pada malam Selasa.
Maklumat itu disahkan oleh Setiausaha MIC Bahagian Sungai Siput, K Manimaran yang melawat keluarga mangsa di Kampung Sungai Buluh, di sini, pada pagi Rabu.

BERITA TERDAHULU : Niat Dekati Gajah Bawa Padah

Manimaran, mayat M Paramanazan, 69, dibawa ke rumah keluarganya tengah malam Selasa untuk urusan pengkebumian pada pagi Rabu, selepas disahkan meninggal dunia di Hospital Taiping.
“Dari pihak kami, kami ingin melahirkan rasa dukacita di atas pemergian mendiang. MIC Sungai Siput memberi sedikit bantuan kewangan buat keluarga mereka selepas mendapat tahu perkara ini pada pagi Rabu.
“MIC akan terus memantau keadaan keluarga ini kerana mereka hidup susah dan pemergian bapa mereka pastinya membuatkan mereka hilang mata pencarian.
“Difahamkan, Pengerusi BN Sungai Siput, Datuk Zolkafly Harun juga akan mencari cara untuk membantu keluarga ini dan mungkin akan bawa ke pengetahuan kerajaan negeri,” katanya kepada Suara Perak.
Tambah Manimaran, MIC juga akan berhubung dengan MIC Perak bagi menyalurkan sumbangan seterusnya kepada keluarga mangsa.

Sebelum ini, Suara Perak melaporkan kejadian sekitar pukul 4.30 petang pada 1 Februari lepas di mana warga emas berkenaan itu patah tangan kiri, tulang rusuk kiri dan tulang leher selain luka di lengan kanan gara-gara dipijak gajah.
Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Ismail Che Isa ketika dihubungi Suara Perak turut memaklumkan siasatan mendapati mangsa bersama anaknya menaiki lori berhenti di lokasi tersebut untuk melihat gajah liar.
Mangsa kemudiannya dipercayai dikejar haiwan itu sebelum dipijak dan anak mangsa yang berada di dalam lori kemudiannya membawa bapanya ke hospital untuk terima rawatan.