IPOH: Seorang lelaki warga emas meninggal dunia di perkarangan Mahkamah Tinggi Ipoh setelah jatuh dan tidak sedarkan diri secara tiba-tiba dalam insiden pada pagi Khamis.

Difahamkan, kejadian itu berlaku apabila mangsa yang berusia 70 tahun itu didapati rebah di kaki lima jalan di hadapan Mahkamah Tinggi sebelum orang ramai mula menghubungi polis sekitar pukul 10.40 pagi.

Bagaimanapun, mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia oleh Penolong Pegawai Perubatan dari Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) selepas pemeriksaan dijalankan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby ketika dihubungi Suara Perak mengesahkan kejadian tersebut, namun katanya tiada sebarang unsur jenayah berlaku ke atas mangsa buat masa ini.

“Mayat mangsa telah dibawa ke forensik HRPB Ipoh untuk bedah siasat bagi mengetahui punca-punca kematian.

“Buat masa ini kami masih menunggu laporan bedah siasat dan akan maklumkan perkembangan kejadian itu dari semasa ke semasa,” katanya.