KUALA KANGSAR: Suasana malam di perkarangan Hospital Kuala Kangsar kecoh apabila sebuah kereta merempuh kaunter saringan penyakit Jabatan Pesakit Luar, malam tadi (Ahad).

Difahamkan, dalam insiden berkenaan seorang lelaki warga emas yang memandu Proton Exora mengundurkan keretanya yang diparkir berhampiran sebelum secara tidak sengaja merempuh bangunan hospital itu.

48c41ff1-fe8c-406b-a94c-7e99f0039eedMenurut seorang saksi kejadian yang hanya ingin dikenali sebagai Aiza,29, warga emas tersebut baru sahaja selesai menerima rawatan dan pada ketika itu hendak balik ke rumahnya.

Jelas Aiza, pada ketika itu warga emas berkenaan hendak mengalihkan kenderaannya sebelum terlibat dengan insiden itu.

“Pada pandangan kasar saya, pakcik itu kelihatan tidak sihat, dan sebenrnya agak lemah. Masa mula-mula dia datang pun dah nampak dia tak sihat sebelum dia terima rawatan di Jabatan Trauma dan Kecemasan.

“Bila semua selesai, saya nampak dia pergi ke kereta. Tak lama lepas itu, saya dengar bunyi dentuman. Rupanya kereta dipandu warga emas itu merempuh kaunter hospital.

“Mujur tiada orang di kaunter tersebut. Tiada sesiapa cedera, pemandu kereta pun tak cedera cuma dia nampak terkejut dan lemah,” katanya.

Tambahnya lagi, kereta dipandu lelaki itu terus mengundur laju bukan disebabkan warga emas itu tersalah tekan pedal minyak namun kerana kakinya kekejangan semasa memandu.

“Mungkin sebab dia penat, kurang sihat jadi kakinya kejang. Mujur tiada siapa cedera dalam insiden itu,” katanya.