IPOH : Seorang lelaki warga emas rentung dalam kebakaran bangunan kedai tiga tingkat di Jalan Lahat, di sini, hari ini.

Mayat mangsa, N. Mahgalingam, 71, ditemui di bahagian tengah tingkat bawah bangunan pada 7.45 malam.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Mohamad Yunus Abu berkata, mereka menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 6.12 petang.

“Setibanya jentera FRT Ipoh dilokasi, didapati kebakaran melibatkan sebuah kedai (pre war building) tiga tingkat.

“Pasukan membuat pemadaman secara defensif dengan menggunakan dua aliran 200 kaki dua pancutan di bahagian depan dan belakang sehingga api dapat dipadamkan sepenuhnya,” katanya di sini.

Menurutnya, mayat mangsa berjaya dibawa keluar jam 8.23 malam dan diserahkan kepada pihak ambulan untuk tindakan selanjutnya.

Selain anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ipoh, operasi pemadaman turut dibantu anggota dari BBP Pasir Putih, Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Pekan Baru dan PBS Bercham.

Operasi yang diketuai Timbalan Penguasa Bomba Azman Hussin tamat pada 9.53 malam.