IPOH: Seorang warga emas rentung dalam kebakaran sebuah rumah di Taman Pinji Mewah, Simpang Pulai, dekat sini, pada Rabu pagi.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby berkata, mangsa, seorang lelaki berumur 63 tahun, terbakar dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 pagi.

Menurut beliau, anggota polis yang tiba di tempat kejadian mendapati mangsa telah mati terbakar di dalam rumah tersebut dan kematiannya disahkan oleh pegawai perubatan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).

“Kebakaran telah berjaya dipadamkan oleh pasukan bomba dari balai bomba Pasir Puteh dan Spg Pulai yang terdiri daripada seorang pegawai dan 17 anggota,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan.

Mohd Ali berkata, punca kebakaran belum diketahui dan masih dalam siasatan pihak forensik bomba Ipoh.

Mayat mangsa telah dihantar ke hospital untuk tujuan bedah siasat.