IPOH: Seorang warga emas kerugian hampir RM1 juta iaitu seluruh harta pencarian, barang kemas dan wang simpanan akibat terpedaya dengan tiga individu yang menawarkan perubatan herba untuk mengubati penyakitnya.

Tidak cukup dengan itu, wanita malang yang menjadi mangsa penipuan tersebut turut diancam dengan pelbagai ugutan termasuk anaknya akan dijangkiti penyakit sama sekiranya dia tidak menyerahkan harta bendanya kepada “tabib cina” tersebut.

Ketua Biro Perkhidmatan Komuniti Gerakan Perak Ipoh Timur, Chek Kwong Weng yang mewakili mangsa berkata, kejadian itu telah menyebabkan warga emas itu kerugian RM855,000 secara keseluruhannya.

“Insiden ini bermula selepas mangsa dihampiri oleh dua individu ini ketika dia berbelanja di pasar.

Mereka memberitahu ada sejenis herba bernama yit mou yang boleh menyembuhkan semua penyakit kritikal yang dihidapi mangsa.

“Terdesak untuk sihat semula, mangsa mengikut suspek ke kenderaan mereka dan dipercayai telah dipukau sebelum pulang ke rumahnya lalu mengambil semua wang tunai dan barang kemas bernilai lebih RM800,000,” katanya pada sidang media di Pejabat Gerakan Ipoh di sini, hari ini.

Jelasnya, mangsa yang kini berusia 65 tahun, menyerahkan wang tunai dan barang kemas itu kepada suspek di hadapan sebuah sekolah di Menglembu.

“Kedua-dua suspek memberikan satu bungkusan beg plastik hitam mengandungi herba yang dikatakan boleh menyembuhkan segala penyakit dan mangsa dilarang membuka beg itu dalam tempoh sebulan.

“Namun, mangsa mulai berasa tidak sedap hati lalu membuka beg tersebut dan mendapati ia hanya mengandungi air mineral, jus dan epal,” katanya lagi.

Menyedari dirinya ditipu, mangsa membuat satu laporan polis berhubung kejadian berkenaan pada 5 Disember lepas.

Berikutan kejadian itu, Kwong Meng menasihati orang ramai supaya memaklumkan kepada ahli keluarga terdekat sekiranya didatangi oleh orang yang tidak dikenali supaya tidak tersalah langkah.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Thamby yang dihubungi, mengesahkan menerima laporan tersebut dan ianya disiasat di bawah Seksyen 420, Kanun Keseksaan.