BATU GAJAH : Seorang warga emas di sini mengalami kerugian lebih RM260,000 akibat terpedaya dengan sindiket Macau Scam, bulan lepas.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, ACP Ahmad Adnan Basri berkata kehilangan wang simpanan berjumlah RM265,368 itu hanya disedari selepas lelaki itu mengemaskini dua akaun banknya di Batu Gajah dan Pusing, pada 7 Jan lepas.

Beliau berkata penipuan itu bermula pada kira-kira pukul 4.00 petang 19 Dis lepas apabila warga emas berumur 78 tahun dari Sungai Durian, Tanjung Tualang itu menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki tidak dikenali yang bercakap dalam bahasa Mandarin loghat dari negara China.

“Lelaki itu memberitahu bahawa warga emas berkenaan mempunyai barang dari pejabat pos Kota Kinabalu yang dikirimkan kepadanya, dan mendakwa polis Sabah menyita barang berkenaan selepas mendapati terdapat banyak kad kredit palsu didalamnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya warga emas itu kemudiannnya menerima panggilan daripada seorang lelaki yang mengaku sebagai Sarjan Wong yang menggunakan nombor telefon +89082245522, yang bertanya mengenai wang serta akaunnya, sebelum mengarahkan beliau memindahkan kesemua wangnya bagi tujuan siasatan.

Adnan berkata siasatan polis mendapati semua wang di dua akaun bank milik warga emas itu dikeluarkan menerusi 24 transaksi antara 30 Dis dan 3 Jan lepas, membabitkan wang berjumlah RM265,368.

Beliau seterusnya menasihati orang ramai supaya tidak mudah terpengaruh dengan sebarang panggilan telefon yang mencurigakan, dan menurutnya kes sedang disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan- BERNAMA