TEMERLOH: Hasrat seorang wanita warga emas untuk memiliki batu delima tidak kesampaian, sebaliknya kerugian RM40,000 disyaki diperdaya tiga lelaki yang menawarkan barang kemas tidak wujud, semalam.

Dalam kejadian jam 1 tengah hari, mangsa berusia 63 tahun dikatakan didatangi tiga suspek warga tempatan di sebuah pasar raya di Triang, Bera.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, berkata suspek didakwa bertanya mengenai seorang kenalan lelaki bernama Haji Yusof kerana mahu memberikan batu delima.

“Seorang daripada suspek dipanggil ‘ustaz’ dikatakan memberitahu ada seorang tauke kaya tinggal di kawasan berhampiran pasar raya, berjanji untuk membayar harga batu delima itu,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata, suspek kemudian menawarkan barang kemas itu kepada wanita terbabit sebelum mangsa bersetuju dengan harga diberikan.

“Suspek mengenakan syarat wanita itu membayar dahulu harga batu delima terbabit. Mangsa kemudian mengeluarkan wang simpanan RM19,000 di CIMB Bank cawangan Mentakab dan RM20,000 lagi di Bank Simpanan Nasional (BSN) cawangan Temerloh, selain RM1,000 sedia ada.

“Mangsa dikatakan menyerah keseluruhan wang berjumlah RM40,000 itu kepada suspek,” katanya.

Selepas menyerahkan wang itu, katanya, suspek didakwa menyuruh mangsa menunaikan solat sunat syukur di sebuah masjid di Temerloh.

“Sebaik selesai solat, mangsa mendapati ketiga-tiga suspek menghilangkan diri sebelum menyedari dirinya ditipu.

“Mangsa segera membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan,” katanya – berrita harian