KUALA LUMPUR: Seorang warga emas didenda RM3,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menyimpan burung Kelicap Kunyit dan Murai Batu iaitu spesis yang dilindungi tanpa lesen sah.

Hakim Manira Mohd Nor menjatuhkan hukuman itu terhadap pemilik kedai haiwan peliharaan Khoo Soo Hah, 68, yang menukar pengakuan kepada bersalah pada sebutan semula kes pada Rabu.

Khoo selaku orang kena saman (OKS) didenda RM1,000, atau dua bulan penjara atas pertuduhan menyimpan dua ekor burung Kelicap Kunyit (Zosterops Palpebrosa) dan RM2,000 atau penjara tiga bulan kerana menyimpan empat ekor burung Murai Batu (Copsychus Malabaricus).

Dia yang tidak diwakili peguam didakwa melakukan kedua-dua perbuatan itu di kediamannya di Jalan Jinjang Damai 3, Jinjang Utara dekat sini, 9.50 pagi, pada 31 Ogos 2014.

Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 60(1)(a) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 dan boleh dihukum menerusi akta sama, memperuntukan hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih dua tahun.

Dalam rayuannya Khoo yang sudah tidak bekerja memohon hukuman minimum kerana tiada pendapatan tetap serta mempunyai masalah kesihatan.

Pegawai Pendakwa dari Jabatan Perhilitan Nazarudin Kamarudin memohon hukuman setimpal kerana kedua-dua spesis burung yang disimpan OKS adalah spesis yang dilindungi.

“Walaupun kedua-dua spesis burung ini mempunyai fizikal yang kecil tetapi memiliki suara yang merdu dan menjadi kegilaan peminat burung dan harganya boleh mencecah ribuan ringgit.

“Oleh itu setiap individu yang ingin menyimpan spesis yang dilindungi memerlukan lesen sah bagi memudahkan pihak Jabatan Perhilitan memantau dari segi populasinya,” katanya.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian sepasukan pegawai Jabatan Perhilitan telah ke kediaman Khoo dan hasil siasatan mendapati dua spesis burung yang disimpannya tidak mempunyai lessen sah. – Bernama