KUALA KANGSAR – Tindakan pantas dan prihatin beberapa orang jiran menyelamatkan seorang warga emas ditemui terlentang dalam keadaan tenat di dalam bilik air rumahnya di Jalan Taiping Kangsar, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisoner Razali Ibrahim berkata, pihaknya menerima panggilan orang awam pada jam 12 tengah hari selepas mangsa berusia 84 tahun tidak keluar dari rumahnya sejak semalam.

“Anggota polis kemudiannya bergegas ke lokasi dan bertindak memecah pintu rumah mangsa yang berkunci selepas dia tidak menyahut walaupun dipanggil sebanyak tiga kali.

“Anggota turut menjenguk dari daun cermin tingkap luar yang terbuka dan terlihat pintu bilik air terbuka dalam keadaan mencurigakan sebelum bertindak memecah pintu rumah mangsa,” katanya dalam satu laporan di sini hari ini.

Tambahnya selepas berjaya memecah pintu rumah polis menemui mangsa terlentang di dalam bilik air dalam keadaan tenat namun masih bernafas sebelum mangsa di hantar ke Hospital Kuala Kangsar menaiki ambulans.

“Anggota terlibat turut mengiringi mangsa ke hospital sebelum diserahkan sepenuhnya kepada pasukan perubatan untuk rawatan lanjut,” katanya.

Menurut Razali, isteri mangsa sudah meninggal dunia dan dia tinggal sendirian, manakala tiga anak perempuannya sudah berkahwin dan seorang anak lelakinya bekerja dan tinggal di Kuala Lumpur.

“Waris mangsa telah dimaklumkan dan dalam perjalanan ke Hospital Kuala Kangsar.

“Pemeriksaan dalam rumah mangsa juga mendapati tiada unsur-unsur disyaki jenayah,” katanya – sinar harian