SEPASANG warga emas maut selepas kereta yang dinaiki mereka terbabas berhampiran lampu isyarat simpang tiga Lebuhraya Perdana ke Kilang Lama berhampiran Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah Kulim, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira 6 pagi itu, mangsa Mohamad Iddrus Samsudin, 62, bersama isterinya Halimah Mat Piah, 63, dari Rawang, Selangor, maut di tempat kejadian selepas Perodua Myvi dipandu mangsa terbabas di bahu jalan sebelum melanggar tebing bukit.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ahmad Nasir Jaafar berkata, hasil siasatan awal di tempat kejadian mendapati mangsa dari arah Lebuhraya Perdana Kulim Hi Tech menghala ke arah Jalan Kulim-Serdang.

Katanya apabila tiba di tempat kejadian, kereta Mohammad Iddrus hilang kawalan lalu terbabas ke bahu jalan sebelum merempuh tebing bukit terbabit.

“Akibat rempuhan itu, kedua-dua mangsa tersepit di dalam kereta mereka.

“Orang ramai yang melihat kejadian kemudian menghubungi pihak polis dan Jabatan Bomba dan Penyelamat untuk bantuan mengeluarkan mangsa.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat pasangan itu dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Kulim untuk bedah siasat sebelum di tuntut oleh ahli keluarga.

“Kes di siasat mengikut seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya ketika dihubungi – metro