SEGAMAT: Tanda tanya mengenai nasib seorang warga emas yang gagal dihubungi anaknya sejak tiga hari lalu, terjawab apabila wanita itu ditemui dalam keadaan tidak bermaya dengan tangan kirinya tersepit di lubang saluran air bilik mandi rumahnya, di Bukit Siput, dekat sini, pagi tadi.

Siti Jauriah A Ghani, 70, ditemui anaknya yang ke rumah itu selepas gagal menghubungi mangsa, kira-kira jam 9 pagi tadi.

Anak mangsa kemudian menghubungi pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) selepas usaha mengeluarkan tangan mangsa gagal.

Sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Baru Segamat diketuai Pegawai Operasi, Wahim Abd Rahman dan tujuh anggota di hantar ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan jam 9.23 pagi.

Wahim berkata, ketika tiba di lokasi kejadian, pihaknya mendapati warga emas itu tersepit tangan kiri di dalam lubang air di bilik mandi selepas terjatuh ketika mandi.

Katanya, pihaknya dimaklumkan oleh anak mangsa bahawa wanita itu tinggal berseorangan di rumah dan tersepit dalam bilik air selama tiga hari.

“Mangsa ditemui anaknya yang pergi ke lokasi kejadian selepas gagal menghubungi mangsa. Setibanya di lokasi kejadian, pihak bomba berjaya mengeluarkan mangsa dengan memecahkan di sekitar bahagian lubang air terbabit,” katanya.

Wahim berkata, operasi menyelamat tamat pada jam 10.21 pagi dan mangsa yang mengalami sedikit kecederaan serta lemah dihantar ke Hospital Segamat untuk rawatan lanjut – berita harian