Oleh:Nazialita Geynna Maharan

IPOH: Seorang warga emas wanita berusia 86 tahun yang tertekan dengan kehidupan yang terabai nekad menggantung dirinya sehingga maut.

Foo Jit Larn yang merupakan penghuni di rumah orang tua di Jalan Raja Nazrin Shah, di sini, nekad menghabiskan nyawanya dengan menggantung diri di tingkap salah sebuah bilik pada awal pagi Ahad.

Dalam kejadian sekitar 5.15 pagi itu, Foo Jit Larn,86, dipercayai telah menggunakan langsir sebagai tali untuk menggantung dirinya di tingkap bilik rumah orang tua tersebut.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby berkata pihaknya menerima aduan tersebut daripada anak perempuan mangsa dan menjalankan siasatan lanjut.

“Menurut anak mangsa berusia 60 tahun dia mendapat tahu berita kematian ibunya daripada adik, sebelum memaklumkan kepada pihak polis.

“Siasatan lanjut mendapati mangsa menggunakan kain langsir yang dijadikan tali sebelum menggantungkan dirinya di tingkap bilik dan mangsa menetap bersama seorang rakan sebilik berusia sekitar 80 tahun.

“Mangsa dipercaya mengalami tekanan perasaan kerana tinggal di pusat jagaan lebih daripada sembilan tahun dan kerap menyatakan ingin membunuh diri,”katanya kepada pemberita.

Mohd Ali berkata tiada elemen jenayah dikesan berkaitan kes kematian mangsa.

“Pihak keluarga tidak mahu sebarang bedah siasat dijalankan,”katanya lagi.