Oleh: Nazialita Geynna Maharan

IPOH: Mayat seorang lelaki warga Indonesia dengan kesan jerutan pada leher ditemukan di bawah pokok di Medan Ipoh dekat sini pada awal pagi Sabtu.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, mayat lelaki berusia 20 tahun itu ditemui oleh orang awam yang kemudian memaklumkannya kepada pihak polis.

“Beberapa pegawai dari Unit Forensik IPK Perak serta Unit Patologi Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) dihantar ke lokasi.

“Pemeriksaan pada tubuh mangsa hanya mendapati kesan jerutan di leher dan pegawai perubatan mengesahkan punca kematian adalah kesan gantung diri.

“Mayat tersebut disyaki telah dibuang ke kawasan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Tambah Chang Keong, polis turut menemui beg duit dan pasport Indonesia pada mangsa.

Katanya, semakan pasport menunjukkan mangsa masuk ke negara ini pada 21 Oktober lepas melalui Imigresen Port Dickson, Negeri Sembilan.

Menurutnya, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar kawasan itu sedang diteliti dan kebanyakan kedai di lokasi berkenaan hanya beroperasi pada waktu petang.

“Tiada suspek yang ditangkap buat masa ini dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut sementara menunggu laporan bedah siasat yang dijangka diperolehi pada 30 Oktober ini,” ujarnya lagi.